Skip to content

33 FAKTA & KRONOLOGI ULUNG PERANG BADAR

33-FAKTA-KRONOLOGI-ULUNG-PERANG-BADAR

Membaca sirah Baginda SAW melalui kronologi menjadi suatu pendekatan yang berkesan untuk memahami jalan ceritanya dengan baik. Walaubagaimanapun, tidaklah bermakna kita perlu menghafal kesemua poinnya.

Terlebih utama untuk kita mengambil ibrah (pengajaran) sebanyak-banyaknya walaupun mungkin hanya satu poin.

Dalam tulisan ini, kita akan cuba renteti peristiwa penting ini secara berurutan.

Bermula dengan fasa sebelum peperangan bermula.

#Sebelum Peperangan

1. Baginda Saw keluar dari Madinah pada tanggal 12 Ramadan tahun kedua hijrah bukan dengan niat untuk berperang. Ada juga yang berpandangan Nabi keluar pada 8 Ramadan.

2. Sebelum Badar, telah berlaku sebanyak 8 siri ekspedisi ketenteraan, sama ada sariyyah (Baginda tidak menyertai ekspedisi tersebut) atau ghazwah (disertai oleh Nabi). Bermula dengan Ghazwatul Abwa` pada bulan Safar tahun kedua hijrah hingga Sariyah Abdullah bin Jahsy pada bulan Rejab tahun yang sama.

3. Badar disebut sebagai peperangan pertama dalam Islam kerana ekspedisi yang berlaku sebelum Badar tidak berlaku pertumpahan darah kecuali kecil sahaja.

4. Direkodkan bahawa Baginda SAW telah mengetuai sebanyak 27 ekspedisi peperangan dan menghantar pasukan dan utusan sebanyak 38 ekspedisi. Kesemua ini berlaku dalam 10 tahun fasa dakwah di Madinah!

5. Sebelum bermulanya ekspedisi peperangan, Baginda SAW mengarahkan untuk membuat culaan bilangan umat Islam yang telah memeluk Islam. Sabda Nabi “Tuliskan padaku jumlah mereka yang telah melafazkan keislamannya”. Lalu dikira dan dianggarkan semuanya seramai 1500 orang. Maka dengan mengetahui jumlah umat Islam sudah begitu ramai, maka ketakutan mereka mula reda.

6. Direkodkan, para Sahabat sentiasa membawa pedang ke mana-mana sahaja mereka pergi termasuklah ketika mengerjakan solat. Bahkan mereka turut berkawal di rumah Nabi pada setiap malam demi menjaga keselamatan Nabi.

7. Basbas bin Amru dihantar oleh Nabi SAW untuk mengintip pergerakan rombongan Abu Sufyan bin Harb, manakala Abdullah ibnu Ummi Maktum ditugaskan menjadi Imam menggantikan Nabi SAW di Madinah. Kemudian, Baginda SAW mengarahkan Abu Lubabah untuk berpatah balik ke Madinah untuk menguruskan pentadbiran di Madinah.

8. Imam Bukhari tidak mengkhususkan bilangan pasukan Badar dengan jumlah 313 orang, sebaliknya menyebutnya dengan lafaz (tiga ratus dan belasan orang) yang boleh dianggarkan 313 orang hingga 319 orang. Manakala Imam Muslim menyebutnya dengan jumlah 319 orang.

9. Umat Islam tidak membawa peralatan dan kelengkapan yang lengkap, bahkan Nabi saw sendiri berkongsi tunggangan dengan Abu Lubabah dan Saidina Ali. Diriwayatkan, pasukan Islam hanya memiliki dua ekor kuda dan 70 ekor unta sahaja.

10. Baginda SAW sekali lagi menghantar dua orang utusan untuk mengintip pergerakan rombongan Abu Sufyan, iaitu Adi bin Raghba` dan Basbas bin Amru. Dikhabarkan pasukan Abu Sufyan diikuti oleh 30 hingga 40 orang bersama ratusan ekor unta yang sarat dengan barang berharga.

11. Apabila tiba di satu tempat (buyut suqya) diluar Madinah, Baginda membuat pemeriksaan ke atas pasukannya. Lalu ketika itulah diarahkan untuk pulang dua sahabat remaja yang belum cukup kriteria untuk turut dalam ekspedisi tersebut. Mereka berdua adalah Al Barra` bin Azib dan Abdullah bin Umar.

12. Begitu juga apabila sampai di satu tempat yang lain, Baginda saw disapa oleh seorang musyrik yang menyatakan hasratnya untuk menyertai pasukan Nabi tetapi dihalang dengan ucapan “Baliklah, tidak sekali-kali aku meminta tolong kepada orang musyrik”. Lelaki tersebut berulang kali merayu untuk turut sama, tetapi tetap dengan tegas tidak diizinkan hingga akhirnya ia memeluk Islam barulah diizinkan.

13. Abu Sufyan berjaya menghidu kedatangan pasukan umat Islam, lantas mengubah haluannya ke jalan lain. Dalam masa yang sama, Abu Sufyan menghantar Amru bin Dhamdam Al Ghifari balik segera ke Mekah untuk meminta bantuan.

14. Rombongan Abu Sufyan bergerak menuju ke arah laut. Dengan kecekapannya, dia berjaya menyelamatkan ahli rombongan terlebih dahulu dan mengumpul kekuatan untuk menyerang. Amru bin Dhamdam pula dengan kelicikannya berjaya meyakinkan orang Mekah bahawa umat Islam akan menyerang Mekah dan merampas harta mereka.

#Deklarasi Badar

15. Hasrat kaum Musyrikin untuk menyerang pasukan Nabi akhirnya sampai ke telingan baginda SAW. Sikap dan keperibadian Nabi dalam saat getir ini wajar dijadikan pedoman oleh pemimpin umat Islam iaitu Baginda mengambil pandangan para pengikutnya. Keputusan untuk berperang diambil oleh Nabi saw selepas mendengar pandangan daripada pihak Muhajirin dan Ansar.

16. Kaum Muhajirin lebih awal memberi pandangan bersetuju untuk berperang melalui ucapan Miqdad bin Al Aswad. Kata beliau “Kami tidak sekali-kali akan menyebut apa yang diucapkan oleh Bani Israel terhadap Musa, pergilah engkau bersama Tuhanmu, kami hanya mahu duduk dan menunggu sahaja, tetapi kami akan menyebutkan, pergilah engkau bersama Tuhanmu, dan kami akan bersamamu!”

17. Diikuti pula respon pihak Ansar oleh Sa`ad bin Muaz. Ternyata respon pihak Ansar lebih dinantikan oleh Nabi. Ini kerana, kaum Muhajirin telah terbukti janji setia mereka sejak 13 tahun yang lalu. Kini giliran orang Madinah pula untuk membuktikan janji setia mereka dan ternyata ia tidak menghampakan!

18. Diantara ucapan Saad bin Muaz yang menaikkan semangat Nabi, … “Ya Rasulallah, demi yang mengutuskan dikau dengan kebenaran, kalaulah dibentangkan dihadapan kami lautan lalu engkau selaminya, nescaya kami juga akan mengharunginya bersamamu tanpa ada seorang pun yang akan tercicir!”

#Mengatur Pasukan dan Mengumpul Maklumat

19. Bendera putih diserahkan kepada Mus`ab bin Umair, Dua bendera hitam diserahkan kepada Saad bin Muaz dan Ali bin Abi Talib. Untuk bahagian paling belakang diserahkan kepada Qais bin Sa`sa`ah. Baginda SAW ditemani Abu Bakar meronda kawasan sekitar Badar untuk mendapatkan maklumat perkembangan pasukan musuh.

20. Pada waktu petang hari yang sama, Baginda SAW mengarahkan Ali bin Abi Talib, Zubair bin Awwam, Saad Abi Waqqas dan beberapa orang lagi untuk ke tempat yang sama yang dilalui oleh Nabi saw dan Abu Bakar untuk tujuan pengintipan.

21. Ketika tiba di tempat tersebut, mereka terserempak dengan dua orang budak suruhan yang ditugaskan untuk mengambil air. Lalu dibawa kedua budak ini kepada Nabi. Dari kedua budak suruhan inilah baginda memperolehi maklumat jumlah ketumbukan Quraisy seramai 900 hingga 1000 orang berdasarkan jumlah unta yang dimakan setiap hari.

22. Dengan maklumat yang mencukupi, Baginda saw bersegera mengarahkan para Sahabat bergerak menuju ke perigi berdekatan Badar untuk dijadikan markaz pasukan Islam. Ketika itulah Habbab bin Munzir mencelah dan memberi pandangan yang bernas dengan mencadangkan tempat berkubu yang lebih strategik dan menguasai perigi air lalu dipersetujui oleh Nabi.

#Peperangan Bermula

23. Saad bin Muaz mencadangkan supaya Baginda saw ditempatkan di posisi khusus dan selamat dengan dibina untuk Nabi khemah di kawasan yang tinggi, disediakan bersamanya seekor kuda untuk berpatah balik ke Madinah sekiranya berlaku sesuatu yang buruk.

24. Pada malam hari sebelum berlakunya pertempuran, Allah menurunkan hujan membasahi bumi Badar dan rasa mengantuk yang kuat hingga semua pasukan Badar tidur nyenyak kecuali Nabi yang berdoa dari malam hari hingga ke Subuh. Dirakamkan di dalam surah Al Anfal ayat 11. Tidur yang nyenyak memberi kerehatan yang cukup untuk bertempur dan mencegah daripada ketakutan dan bisikan syaitan.

25. Dengan bilangan pasukan yang lebih sedikit berbanding musuh, Baginda menyusun formasi pasukan yang efektif dan tersusun. Dibahagikan kepada dua barisan, barisan hadapan terdiri daripada pasukan pemanah untuk menghalang kemaraan tentera berkuda. Barisan belakang pula tentera yang memegang perisai untuk menghalang rempuhan pasukan musuh.

26. Menurut General Mahmud Syeit Khattab, melalui karyanya Ar Rasul Al Qaid bahawa formasi yang digunakan oleh Nabi ketika Perang Badar tidak pernah digunakan oleh mana-mana pasukan tentera dan itulah kali pertama ia digunakan. Maka patutlah Allah ta`ala memuji tindakan Nabi saw ini melalui ayat 4 surah As Saff.

27. Terdapat TIGA arahan penting terhadap pasukan Badar, iaitu jangan memanah kecuali jika musuh berada pada jarak yang dekat dengan kumpulan yang ramai, berjimat ketika meluncurkan panah, dan jangan bertempur kecuali setelah musuh menyerbu kamu.

28. Pertempuran dimulakan dengan perlawanan one by one yang dimulakan oleh Hamzah bin Abdul Mutallib yang menewaskan Al Aswad bin Abd Asad. Kemudian disambung pula oleh tiga orang daripada pasukan Quraisy iaitu Utbah dan Syaibah bin Rabiah dan Walid bin Utbah yang dicabar oleh Hamzah dan Ali bin Abdul Mutallib dan Ubaidah bin Al Harith. Kemenangan semuanya berpihak kepada umat Islam. Berang dengan kekalahan awal ini, lantas pasukan Musyrikin menyerbu pasukan Islam.

29. Baginda SAW sentiasa menyuntik kata-kata yang memberi semangat sepanjang peperangan dan tidak berhenti-henti berdoa hingga ditegur oleh Abu Bakar.

Doa Nabi yang masyhur dalam Badar “Ya Allah, jika engkau kalahkan pasukan ini, nescaya tidak akan ada lagi manusia yang akan menyembahmu selepas ini”. Lalu Allah menghantar para Malaikatnya membantu umat Islam memerangi pasukan musuh. (Ali Imran : 123 -125)

30. Abu Jahal bin Hisyam tewas di tangan dua anak muda iaitu Muawiz bin Afra` dan Mu`az bin Amru. Lalu dipenggal kepalanya pula oleh Ibnu Mas`ud dan dibawa dihadapan Nabi. Baginda meminta untuk dibawa melihat jasad Abu Jahal, lantas mengucapkan “Inilah Firaun bagi zaman ini”.

31. Umayyah bin Khalaf dibunuh oleh bekas hambanya, Saidina Bilal bin Rabah, Iblis yang menyamar menyerupai Suraqah bin Malik melarikan diri kegerunan melihat bantuan Malaikat tiba.

#Selepas Tamat Perang

32. Seramai 14 orang umat Islam syahid, manakala 70 orang yang mati dalam kalangan pasukan musuh dan puluhan lagi yang ditawan. Mekah menjadi suram menerima berita kekalahan tersebut manakala Madinah meriah dengan laungan takbir dan tahmid. Abdullah bin Rawahah dan Zaid bin Harith diutus ke Madinah untuk menyampaikan berita kemenangan. Ketika berita kemenangan sampai, jenazah puteri Nabi, Ruqayyah baru sahaja selesai dikebumikan.

33. Khilaf ketika pembahagian harta ghanimah diselesaikan melalui turunnya ayat awal surah Al Anfal, begitu juga dengan perihal tawanan perang. Al Quran membicarakan perihal Badar dalam banyak tempat terutama melalui surah Al Anfal.
.
.
Semoga bermanfaat. Untuk pengajaran dan ibrah, akan menyusul dalam entri yang lain.
Mohd Adlan Mokhtaruddin
17 April 2022
Rujukan : Ghazawatur Rasul Durus wa Ibar Dr. Ali Muhammad As Solabi dan Rahiqul Makhtum Syeikh Safiyur Rahman Al Mubarakfuri.

.
sumber: Mohd Adlan Mokhtaruddin