Skip to content

Biodata Ustaz Datuk Ismail Kamus Korang Wajib Tahu

ustaz-ismail-kamus-meninggal-dunia

Biodata Ustaz Dato’ Ismail Kamus |  Pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi (08 Mei, 2020 bersamaan 15 Ramadan 1441 hijrah – khamis malam jumaat).

Sama sama kita sedekahkan dan hadiahkan surah Al-Fatihah kepada Allahyarham Datuk Ismail Kamus.

Berikut merupakan biodata Ustaz Datuk Ismail Kamus :

Ustaz Datuk Ismail Kamus (2 Disember 1948 – 8 Mei 2020) ialah seorang pendakwah bebas Malaysia.

Beliau seorang tokoh Ulamak terkenal di Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei dan bahkan berdakwah di Eropah khususnya di UK dan juga di Amerika Syarikat.

Beliau juga berdakwah di Timur Tengah.

Beliau merupakan mantan Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) Gombak Setia, bertanding di atas tiket Parti Islam Se-Malaysia pada tahun 1999 hingga 2004.

Beliau merupakan Pengasas dan Pengerusi Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia.

Ustaz Ismail Kamus juga diaugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) – pangkat gelaran Dato’ (1996).

Pendidikan Datuk Ismail Kamus

Datuk Ismail Kamus mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali selama enam tahun sebelum ke Maahad Hisyamuddin Klang, Selangor.

Disana beliau sempat berguru dengan seorang ulama yang tersohor As-Syeikh Mahmood Al-Arif al-Bukhari.

Selepas menamatkan pengajian di sana, beliau melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan beliau memdapat Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada tahun 1976.

Kerjaya Datuk Ismail Kamus

Datuk Ismail Kamus pernah menimba pengalaman sebagai guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selain bertugas selama 15 tahun di Jabatan Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.

Jawatan terakhir beliau ialah sebagai pakar rujuk Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Menubuhkan Pusat Perubatan Islam

Selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan menubuhkan syarikat perkhidmatan umrah dan haji, Datuk Ismail Kamus menumpukan sepenuh masa kepada rawatan Islam.

Ustaz Ismail Kamus mempelajari perubatan Islam daripada Prof. Datuk Dr. Haron Din sekitar tahun 1979 dan mula mengubat pada tahun 1986.

Dato’ Ismail Kamus adalah pengasas dan pakar pengamal perubatan Islam di Darussalam.

Beliau juga sebagai penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2003.

Penglibatan di arena Media Massa

Ustaz Ismail Kamus juga sering kali keluar di stesen TV di rancangan Forum Perdana Hal Ehwal Islam.

Selain itu beliau juga tampil di rancangan-rancangan TV terpilih seperti di TV3 dan Astro Oasis.

Perkembangan beliau juga boleh diikuti di laman sosial Facebook dan Blog kelolaan peminat beliau.

Ceramah beliau juga terdapat di dalam bentuk CD, VCD, MP3 dan menerusi laman Youtube.

Terpilih Tokoh Maal Hijrah Selangor 2011

Pada 22 November 2011, beliau terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2011 Peringkat Negeri Selangor.

Sumbangannya besar dalam menyebarkan syiar Islam.

Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah mewakili kekandanya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan anugerah itu.

Majlis diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Kesihatan dan meninggal dunia

Beliau dimasukkan ke wad di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 26 April 2020 disebabkan keadaaan kesihatan yang agak lemah.

Exco Penerangan Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh dilaporkan berkata, ketika itu pemeriksaan mendapati keadaan tidak berkait dengan masalah jantung dan kemudiannya Ustaz Datuk Ismail Kamus terus dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari yang sama.

Hasil pemeriksaan di HKL mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-paru beliau, sementara hasil ujian saringan C081D_2o yang dilakukan sebanyak dua kali dan keputusannya adalah negatif.

Menurut Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, beliau meninggal dunia pada hari Jumaat, 8 Mei 2020, pukul 12.30 tengah malam di kediamannya di Ampang, Selangor.

Sama sama kita niat sedekah dan hadiahkan surah Al-Fatihah untuk arwah Ustaz Datuk Ismail Kamus.

Semoga rohnya bersama mereka yang beriman di sana. Amiiinn …