Sejarah-Hari-Gawai-Dan-Aktiviti-Utama-Orang-Dayak-Sarawak
Info AM

Selamat Hari Gawai 1 Jun 2020! Sejarah & Aktiviti Orang Dayak Sarawak.

Perayaan Hari Gawai disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak pada 1 haribulan Jun setiap tahun. Perayaan akan bermula dengan tuai rumah membahagi-bahagikan tugas kepada penghuni rumah panjang. Kaum wanita pula akan menyediakan kuih-muih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras, gula dan santan. Minuman tuak merupakan sajian utama perayaan Hari Gawai.

Pada petang menjelang Hari Gawai bermula, upacara membuang sial dilakukan oleh Tuai Gawai. Tuai Gawai memulakan upacara ‘miring’ ini diruai (beranda) rumah panjang. Beliau mewakili penghuni rumah panjang berdoa supaya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Pada jam 12.00 malam, Upacara minum ‘air pengayu’ dilakukan dengan harapan supaya panjang umur, sihat dan makmur. Pada pagi 1hb Jun, tepat jam 7.00 pagi, tuai rumah dengan diiringi oleh beberapa penghuni rumah panjang menghantar piring persembahan ke ‘tiang pengingat’ iaitu sejenis kayu yang sering digunakan untuk mendirikan rumah panjang.


Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut di Sarawak oleh kaum peribumi Sarawak, terutamanya Iban, Bidayuh dan Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah, dan juga komuniti Dayak di Kalimantan Barat.

Kalau dahulu, kebanyakan mereka tinggal di rumah-rumah panjang dan sesetengahnya tinggal berkelompok di kampung-kampung, kini masyarakat Dayak sudah tinggal menetap di bandar-bandar untuk mencari pekerjaan dan sara hidup yang lain.

Apakah Maksud Dan Sejarah Perayaan Hari Gawai

Gawai bermaksud pesta. Jadi, Gawai Dayak merupakan Pesta Dayak. Gawai Dayak merupakan hari menyambut tahun baru yang ditandakan dengan berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang baharu. Ia merupakan musim perayaan pesta-pesta tradisi dan sosial.

Gawai Dayak mula disambut secara besar-besaran sejak 25 September 1964 apabila Hari Gawai diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi di Sarawak. Sambutan Gawai Dayak pada peringkat negeri yang pertama adalah pada 1 Jun 1965. Sebelum itu, hari cuti umum ini dipanggil Hari Sarawak oleh pemerintahan Rajah Brooke.

Sebenarnya, Gawai Dayak adalah musim perayaan yang berlangsung selama sebulan yang bermula dari hujung bulan Mei sehingga akhir bulan Jun setiap tahun. Mereka mempunyai beberapa upacara besar yang dijalankan di rumah panjang dan bandar. Hari pertama perayaan jatuh pada 31hb Mei dan hari kedua pada 1hb Jun setiap tahun dan akan tamat secara rasmi dengan upacara penutupan pada akhir bulan Jun yang dipanggil menggulung atau ngiling tikar.

[Dah Baca?] 3 Dari 625 Koleksi Gambar Menarik Ucapan Selamat Hari Gawai Trending di Google


Aktiviti Utama Orang Dayak Sarawak

Penanaman padi adalah aktiviti utama kehidupan orang Dayak sejak dahulu kala lagi kerana beras adalah makanan utama mereka. Selepas tamatnya musim menuai padi, kaum Dayak akan memiliki banyak beras. Jadi, sesuailah masanya untuk mereka meraikan pesta-pesta tertentu yang diperlukan.

Persediaan menyambut Gawai Dayak bermula apabila tibanya bulan Mei dengan proses penapaian “tuak” iaitu sejenis minuman tradisi komuniti Dayak. Penapaian tuak mengambil masa kira-kira sebulan. Tuak dihasilkan daripada penapaian nasi pulut yang telah dimasak dan dicampur ragi sebelum disimpan dalam tempayan.

Apabila sudah ada sedikit air tuak tulen pada nasi pulut yang ditapai itu, air yang telah dimasak dan dicampur gula akan ditambahkan secukupnya mengikut banyaknya nasi pulut tersebut. Pada akhir bulan Mei, air tuak itu boleh ditapis dan diminum. Meminum tuak melambangkan kekuatan tenaga dan keberanian hati tanpa berbelah-bahagi.

Setelah siap membuat tuak iaitu selepas pertengahan bulan Mei, kaum wanita akan membuat kuih-muih tradisi orang Dayak yang dipanggil “sarang semut”, “acuan” dan “kuih sepit”. Kuih-muih ini diperbuat daripada tepung beras yang dicampur air, telur and gula lalu digoreng sehingga keras dan kering dalam minyak masak. Kuih-muih yang telah siap akan disimpan dalam tempayan atau tin supaya tahan untuk beberapa minggu tanpa basi sementara menunggu tibanya hari gawai.

Sebelum berakhirnya bulan Mei, gotong-royong untuk pembersihan dan perhiasan rumah panjang atau kampung boleh diadakan seperti mengecat atau membaiki bahagian-bahagian rumah yang rosak. Rumah panjang dibina mengikuti peraturan-peraturan tertentu supaya ia digunakan sebagai tempat kediaman dan juga tempat beribadat.

Selepas itu, acara pembersihan kubur selalunya diadakan setiap tahun sebagai tanda penghormatan bagi orang yang telah meninggal seperti nenak-moyang, ahli-ahli keluarga, sahabat handai and masyarakat setempat.

Rumah panjang atau kampung seterusnya akan bermesyuarat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengatur acara sambutan gawai pada 31 Mei dan 1 Jun. Acara-acara tradisi termasuklah meminum air panjang umur, perarakan, pertandingan ratu cantik seperti pekit Kumang dan Keling bagi kaum Iban, pendirian pokok “ranyai”, bermain muzik tradisi, menari tarian asal seperti ngajat dan datun jalut, persembahan seni mempertahankan diri dan nyanyian puisi rakyat.

Pada zaman moden sekarang, acara sukaneka pada siang harinya, permainan sukaria, karaoke dan berjoget boleh diselitkan untuk memeriahkan suasana gawai.


Peraturan-peraturan khas untuk dipatuhi oleh orang ramai juga akan ditentukan untuk menjaga suasana gawai yang meriah tanpa pergaduhan dan gangguan yang lain. Bagi kaum Iban, peraturan ini dipanggil “begeliga”.

Apabila tibanya pagi 31 Mei, orang ramai akan turun mencari makanan di hutan atau kebun terutamanya umbut yang sedap dimasak sup dengan daging haiwan. Ikan, haiwan liar dan sayuran hutan juga dicari sebagai lauk-pauk sebelum gawai.

Selepas itu, orang ramai akan menyembelih haiwan ternakan sebagai lauk utama gawai. Sekarang ini, daging dan sayuran boleh dibeli di pasar-pasar terutamanya bagi mereka yang bekerja dan tinggal di bandar-bandar.

Nasi pulut “pansoh” (lemang) akan dimasak dalam ruas buluh supaya ada aroma istimewa daripada buluh tersebut yang tidak diperoleh jika dimasak dalam periuk. Nasi pulut ini dianggap hidangan istimewa kerana kelekitannya melambangkan perpaduan dalam kalangan komuniti itu yang menjamahnya. Nasi pulut juga digunakan untuk membuat nasi manis dan tuak, sebagai salah satu sajian kepada para dewa dan membaling tiang chandi sewaktu gawai burung atau kenyalang.

Sementara itu, tikar-tikar anyaman tradisi dengan rekaan bunga-bungaan yang cantik dan berwarna terang juga akan dibentangkan di sepanjang ruai rumah. Jenis-jenis tikar tradisi termasuklah tikar bemban, tikar rotan dan tikar kulit kayu. Kain-kain tenunan atau ikatan tradisi yang dipanggil “pua kumbu” pula digantung di dinding-dinding sebagai perhiasan. Kraftangan yang lain seperti bakul dan topi besar boleh juga digantung di dinding-dinding bilik.

Pelantar istimewa dan tilam kapas empuk akan dibuat terutamanya di ruai Ketua Rumah atau Gawai sebagai tempat istirahat para tetamu khas yang dijemput hadir semasa upacara duduk berbaris mengikut kedudukan sosial masing-masing nanti.

Aku sebagai Lifestyle Bloggers Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Gawai bagi semua masyarakat Dayak di Sarawak dan yang berada di seluruh dunia.


.
sumber Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara
sumber Sarawak Voice
sumber gambar SunahSukaSakura


Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: